Rossi semakin pasti sertai Petronas SRT Yamaha


PELUMBA MotoGP, Valentino Rossi hampir pasti menyertai pasukan satelit Petronas SRT Yamaha untuk musim perlumbaan 2021.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, rundingan di antara beliau dan Rossi mengenai perjanjian tersebut menampakkan petanda positif walaupun sedikit rumit.

"Rundingan setakat ini sangat positif," katanya. "Jika kedua-dua pihak bersetuju, semuanya akan menjadi positif dan kami sedang menuju peringkat akhir.

"Bagaimanapun, ia belum muktamad. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan sebelum pemulaan bulan depan. Valentino Rossi bukan pelumba normal, jadi rundingan tidak mudah (membabitkan banyak pihak), banyak yang perlu dibincangkan bersama," jelasnya.

Perjanjian untuk Rossi berlumba bagi pasukan Petronas itu dijangka dapat dimuktamadkan  menjelang perlumbaan pembuka tirai di Jerez pada 19 Julai.

Rossi setakat ini belum mengesahkan secara rasmi sama ada akan terus berlumba selepas tamat musim Kejohanan Dunia MotoGp 2020.

Bagaimanapun, dia memberi bayangan mahu berada di grid pada 2021 dengan menunggang Yamaha M1 dan menyarung sut Petronas SRT.

"Kami ada sidang video bersama Rossi. Dia mahu tahu jangkaan pasukan ke atasnya. Dengan situasi sekarang kami perlukan kestabilan dalam pasukan.

"Dalam situasi berbeza ini, adalah lebih baik bagi kami mengambil pelumba yang boleh memberi kestabilan kepada pasukan. Mungkin juga dia akan bersara dengan pasukan, ia satu penghormatan." tambah Razlan.

Sebagai rekod, pelumba sensasi pasukan Petronas,  Fabio Quartararo akan bersama pasukan Yamaha Factory tahun depan

Rossi sebelum ini berkata, dia mahu menggunakan pusingan pertama Kejohanan Dunia MotoGP musim ini sebagai penilai tahap kemampuan sebelum mengumumkan sama ada mahu terus berlumba tahun depan.
 

Post a Comment

0 Comments