ENAM kes Covid-19 baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,231 kes.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sambil menjelaskan bahawa kes baru itu terdiri daripada dua kes import dan empat kes jangkitan tempatan.
Kesemua empat kes jangkitan tempatan melibatkan warganegara Malaysia yang terdiri daripada tiga kes di Selangor dan satu kes di Sarawak. Kesemua mereka telah diasingkan untuk rawatan.
Noor Hisham juga memaklumkan seramai 45 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, manakala tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.
Dengan semua perkembangan terbaharu itu, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 244 kes. Dua pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
3 kluster baru
Selain itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa kementerian mengesan tiga kluster baru iaitu Kluster Bukit Bintang, Kluster Tapak Pembinaan di Kuching, dan Kluster Kondominium di Hulu Langat.
Sebanyak 10 kes positif dilaporkan dalam kluster Bukit Bintang yang melibatkan sembilan kes warganegara Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.
Setakat ini KKM telah menyaring seramai 274 orang dan mendapati sembilan kes positif, dan 265 negatif. Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah kepada kes indeks.
Kluster Tapak Pembinaan di Kuching pula mula dikesan apabila kes ketiga kluster itu (iaitu kes ke-8591) telah membuat saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta dan didapati positif. Seramai 426 kontak telah dikenal pasti dan 62 orang didapati negatif dan selebihnya (iaitu 364 kontak) masih menunggu keputusan.
Manakala bagi Kluster Kondominium Hulu Langat pula, ia melibatkan kes indeks (kes ke-8368) yang merupakan seorang pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif pada 8 Jun.
Seramai 40 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring dan tiga kes dikesan positif, 30 kes negatif dan tujuh orang masih menunggu keputusan.
0 Comments