Disebalik gelora, HARAPAN masih utuh


WALAUPUN
terdapat perbezaan pendapat mengenai isu calon perdana menteri, Pakatan Harapan (HARAPAN) masih terus utuh, kata Ketua Setiausaha Sekretariat gabungan itu.

Saifudin Nasution Ismail yang dipetik wawancara bersama akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah, berkata tidak ada perubahan dari segi hubungan baik  antara KEADILAN, DAP, dan Amanah.

"Baru dua hari yang lalu saya makan tengah hari dengan (pemimpin DAP) Anthony Loke dan Liew Chin Tong. Saya juga meraikan (pemimpin Amanah) Khalid Samad dan Hatta Ramli," katanya merujuk gambar pertemuan antara pemimpin gabungan itu yang tular baru-baru ini.

Pertemuan pemimpin HARAPAN
Saifuddin sebelumnya mengulas perkembangan politik dalaman gabungan itu yang dilihat gagal bersetuju dalam isu calon perdana menteri.

Media sebelum ini memberi gambaran bahawa DAP dan Amanah dilihat cenderung menyokong Dr Mahathir Mohamad, sementara KEADILAN tetap tegas dengan keputusan awal gabungan itu yang bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon bagi jawatan itu

"Sekadar ada pendapat yang berbeza tentang calon perdana menteri. Tetapi persoalannya, apakah Tun (Mahathir) mempunyai jumlah sokongan yang cukup?" katanya sambil menjelaskan bahawa sokongan kedua-dua parti itu sebagai satu lagi pilihan sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan yang mencukupi Ahli Parlimen.

Mahathir sebelum ini berkata bahawa dia akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah, namun mengancam untuk memutuskan kerjasama dengan KEADILAN yang menolaknya sebagai calon perdana menteri.

Namun, ketika ditanya mengenai hubungan antara Mahathir dan Anwar, Saifuddin mengatakan bahawa KEADILAN terbuka dan bersedia untuk menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja.

Parti itu jelasnya telah membuktikan keterbukaannya dengan penerimaan Bersatu dalam HARAPAN sebelum pilihan raya umum ke-14 walaupun Mahathir dan Anwar merupakan seteru selama 20 tahun.

"Dalam demokrasi, yang didasarkan pada permainan jumlah sokongan, kita harus siap untuk berinteraksi dengan semua orang, tetapi kita mesti bergerak pada prinsip yang jelas," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments