KERAJAAN Perak pimpinan Ahmad Faizal Azumu didesak menjelaskan alasan menganugerahkan kontrak pengurusan sisa pepejal yang didakwa diberi tanpa melalui proses tender terbuka.
Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata penganugerahan kontrak kepada Majuperak Holdings Bhd dan Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd (MTR) dianggap sebagai mengejut, tidak telus dan dibimbangi menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan yang akan membebankan rakyat.
Tambah Adun Tebing Tinggi itu lagi, konsesi penswastaan itu juga dilihat bersifat monopoli.
"Oleh kerana konsesi penswastaan ini tidak telus, sekiranya mutu khidmat yang ditawarkan oleh syarikat swasta tidak memuaskan hati, adalah sukar untuk rakyat membuat aduan kepada kerajaan tempatan.
"Dan syarikat swasta yang berstatus monopoli tidak diwajib memainkan peranan khidmat sosial kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, pada 15 Jun, Majuperak mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia mengadakan usaha sama dengan Mainiza.
Notis itu dikeluarkan setelah Mainiza memberitahu Majuperak bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.
Memetik laporan media, Mainiza akan bekerjasama dengan anak syarikat milik penuh Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) dimana Nizran Noordin yang juga bekas setiausaha politik Ahmad Faizal Azumu antara yang berada di lembaga Majuperak dan MUMSB.
Manakala Majuperak pula dilapor dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (55.12 peratus kepentingan, menurut laporan tahunan 2018) sebuah badan berkanun yang dikendalikan oleh menteri besar.
Abdul Aziz berkata Pakatan Harapan (PH) Perak memberi masa 24 jam kepada kerajaan negeri memberi penjelasan terbuka sebelum mengambil "tindakan wajar untuk membela kepentingan awam".
0 Comments