Jawatan PM bukan hak mutlak Dr Mahathir


BEKAS
Menteri, Dr Maszlee Malik dikritik susulan kenyataanya bahawa usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih semula kerajaan persekutuan tanpa Tun Dr Mahathir sebagai mustahil dilakukan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang dilihat cenderung melihat Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri buat kali ke-3 turut berkata,  bahawa jawatan perdana menteri sekiranya gabungan itu mendirikan kerajaan bukan hak mutlak Anwar.

Susulan kenyataan itu, sejumlah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tampil mengingatkan Maszlee bahawa jawatan itu juga bukan hak mutlak Dr Mahathir Mohamad.

"Setuju dengan Maszlee. (Jawatan itu) juga bukan hak mutlak Tun Mahathir," kata Setiausaha Pengelola KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad di Twitter sebagai membalas kenyataan Maszlee.

Bukan sekadar Nik Nazmi, seorang pemimpin pemuda parti itu turut mengingatkan bahawa ura-ura bahawa Anwar telah dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu mengambil alih kembali Putrajaya tidak akan berdiri tanpa pihak yang mencalonkannya.

Setiausaha Pemuda KEADILAN (AMK) Ahmad Syukri Ab Razak dalam kenyataannya turut mempersoalkan apakah kenyataan Maszlee itu satu tindakan yang cuba memutlakkan jawatan tersebut kepada Dr Mahathir.

"Saya setuju bahawa ia bukan hak mutlak sesiapa. Tetapi apakah Maszlee tidak sedar bahawa beliau seolah-olah sedang memutlakkan jawatan itu hanya kepada Tun Mahathir?

"Dalam hal ini, HARAPAN dengan komposisi 91 Ahli Parlimen sebulat suara menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

"Soalnya sekarang, pihak manakah pula yang menamakan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri?" soalnya dalam kenyataan sambil menyarankan agar Maszlee turut sama meyakinkan Mahathir untuk memberi sokongan penuh kepada Anwar.

Katanya, pengiraan mudah menunjukkan HARAPAN mempunyai sokongan 91 anggota Parlimen manakala Mahathir hanya memiliki lima anggota Parlimen, termasuk dirinya.

Isu calon perdana menteri gabungan itu kini persoalan terutama terdapat ura-ura mengatakan ada usaha sedang dilakukan bagai mengambil alih semula pentadbiran sejajar mandat diberikan rakyat pada pilihan raya lalu.

Anwar sebagai pengerusi HARAPAN pada Selasa lalu mengadakan mesyuarat bersama pemimpin gabungan itu, Dr Mahathir dan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ia difahamkan bagi membincangkan calon paling sesuai untuk memimpin gabungan baru dipanggil HARAPAN Plus itu.

Sementara itu, Pengerusi KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Bin Rizal Mubarak turut mengingatkan Maszlee bahawa kejatuhan  HARAPAN yang antara lain disebabkan keluarnya Bersatu - parti Maszlee sendiri - daripda gabungan itu.

"Rakyat tidak lupa bagaimana negara kita berada di dalam kebuntuan demokrasi pada hari ini adalah kerana pengkhianatan ahli Bersatu.

"Maszlee harus mengikut perubahan masa, dan keadaan di sekelilingnya telah berubah kerana kini Anwar adalah simbol harapan negara selaku ketua pembangkang," katanya dalam kenyataan.

Post a Comment

0 Comments