Anwar mahu PN fikir cara elak 'malapetaka' pengangguran


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang dengan nasib golongan pekerja di negara ini yang dijangka akan berdepan situasi lebih sukar ekoran pendemik Koronavirus (Covid-19).

Rasa bimbang itu disuarakan susulan unjuran Bank Negara dalam laporan pertumbuhan ekonomi suku tahun pertama yang menjangkakan kadar pengangguran di negara ini akan mencecah 4% tahun ini.

Melalui sidang media di laman Facebooknya, Anwar menegaskan bahawa Putrajaya perlu memandang serius isu tersebut dan segera mencari jalan bagi menangani isu ekonomi yang bakal dihadapi rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Beberapa institusi ekonomi menjangkakan antara setengah hingga 1 juta orang akan dibuang kerja.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebelum ini pula berkata, Jabatan itu menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia pada tahun ini bakal mencecah sehingga 5.5 peratus dan menjadi kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh negara sejak tahun 1989.



Manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula memaklumkan, data dari Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)  pula mendapati kadar pengangguran meningkat kepada 42 peratus untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020).

Melalui laporan bertajuk ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE)’ itu, Perkeso turut menjangkakan trend kehilangan pekerjaan meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku berikutnya pada 2020.
“Ini sangat merunsingkan,” kata presiden KEADILAN itu.

Sementara itu tegas Anwar, masalah pengangguran bukan sahaja memberi kesan pada individu tetapi juga mendatangkan impak pada institusi keluarga.

“Apabila seseorang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan, mereka tidak boleh membayar sewa rumah dan persekolahan anak-anak juga akan terjejas.” tambahnya.

Justeru, Anwar mengusulkan Putrajaya melihat isu itu secara menyeluruh, kerana setakat ini, katanya, tiada langkah jelas dirancang selain kerajaan hanya kemukakan pakej rangsangan ekonomi.

“Penyelesaian masalah ini masih tidak ada. Saya tahu ada keterbatasan ketika ini tetapi kerajaan perlu mengadakan sesi perbincangan lebih luas.

“Ia tentang bagaimana boleh menggerakkan kegiatan ekonomi awal dengan cara terbatas, tetapi tidak menjejaskan kepentingan dan keselamatan rakyat serta dapat mengurangkan beban.

“Sebahagian program bantuan subsidi dan upah diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi persatuan itu merasakan bantuan yang diberi belum cukup untuk mempertahankan PKS.” tegasnya.

Bekas Menteri Kewangan yang diiktiraf antara terbaik pada 1996 itu turut melontar pandangan kesan lebih besar pengganguran akan dapat dilihat pada suku tahun kedua “sekiranya negara masih belum bersedia”.

Post a Comment

0 Comments