Wakil rakyat Chini meninggal dunia


WAKIL
rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang, Abu Bakar Harun, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi.

Abu Bakar meninggal dunia kira-kira 3 pagi tadi dan dipercayai punca kematiannya akibat serangan jantung.

Berita itu disahkan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, mengesahkan kematian Allahyarham menerusi muat naik status di Facebook rasmi beliau pagi ini.

"Mendapat perkhabaran berita sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan,  Abu Bakar Harun, yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini.

"Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," tulisnya di laman Facebook tersebut.
 
Abu Bakar pernah dilantik sebagai EXCO Hal Ehwal Peneroka dalam pentadbiran kerajaan Pahang di bawah kepemimpinan Adnan Yaakob antara tahun 2013 hingga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Abu Bakar mempertahan kerusi N23 DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pada pertembungan itu, beliau yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan wakil Gabungan Sejahtera (GS) daripada PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil KEADILAN yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.

Post a Comment

0 Comments