Tindakan K'jaan agih jawatan GLC dipersoal


PEMIMPIN
tertinggi parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan keabsahan (kedudukan yg sah) kerajaan yang dipimpin Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dibangkitkan mereka melalui satu kenyataan bersama yang turut disertai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut mereka, isu berkenaan keabsahan itu timbul susulan kegagalan Muhyiddin untuk menguji sokongan beliau di kalangan ahli Parlimen.

“Kami sebulat suara dan bersatu hati menegaskan bahawa Parlimen merupakan institusi demokrasi ulung negara yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan tanpa sekatan.

"Sokongan buat seseorang Perdana Menteri perlu diuji dan disahkan serta tempat di mana Rang Undang-Undang dan masalah rakyat perlu dibincang, dibahas dan diputuskan.

“Pakej rangsangan berjumlah RM260 bilion yang diumum Muhyiddin sehingga kini masih belum dibentang dan diluluskan Parlimen. Ahli-ahli Parlimen mesti diberi peluang untuk membahaskan pakej rangsangan ini bagi memastikan tiada ketirisan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat.

“Kami juga tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja serta menegaskan pendirian Pembangkang bahawa Parlimen boleh dan mesti bersidang lebih dari apa yang diusahakan kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat,” kata kenyataan tersebut.
 
Jawatan dalam GLC

Dalam kenyataan serupa mereka turut mempersoal tindakan pentadbiran Muhyiddin terhadap apa yang didakwa percubaan pentadbiran Muhyiddin meraih sokongan dari kalangan ahli-ahli Parlimen melalui pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta jawatan-jawatan duta bertaraf Menteri.

Selain itu, kenyataan itu juga sepakat dan berpandangan dalam kes pertuduhan pengubahan wang haram  yang dikaitkan dengan anak tiri bekas Presiden Umno, Riza Shahriz Abdul Aziz yang  dilepaskan tanpa dibebaskan sebagai isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama.

Mereka turut mempersoalkan isu peruntukan beberapa kementerian baru diwujudkan yang sehingga kini tidak diluskan di Dewan Rakyat.

“Mesyuarat telah membincangkan isu di mana beberapa kementerian baharu telah diwujudkan, namun peruntukan perbelanjaan bagi kementerian-kementerian ini belum lagi dibentang sebagai Rang Undang-Undang dan belum lagi diluluskan di Parlimen.

“Ini semestinya akan menimbulkan persoalan berkenaan perjalanan urusan serta sebarang perbelanjaan yang berkait dengan kementerian-kementerian ini,” katanya kenyataan tersebut.

Post a Comment

0 Comments