Covid-19: Hampir 60% pesakit pulih


BUAT kali keempat dalam minggu ini, Malaysia mencatatkan kes baru harian Covid-19 di bawah paras 100.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sebanyak 84 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi berbanding 54 kes semalam.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,389 kes.

Dalam sidang media harian mengenai wabak Covid-19 di sini, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, 95 pesakit disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh seramai 3,197 orang atau 59.3 peratus.

Bagaimanapun, 1 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah korban akibat wabak itu sebanyak 89 kes.

Jelas Dr Noor Hisham, kes kematian ke-89 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, komplikasi jantung dan buah pinggang.

Mangsa jelasnya mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 ke-2726 dan menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsum, Johor pada 13 April lalu sehingga disahkan meninggal dunia petang semalam.

Sementara itu tambahnya, 46 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 26 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Post a Comment

0 Comments