Wanita cedera tong gas meletup


SEORANG wanita melecur dalam kejadian tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Kerdau, Pahang petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mangsa, Hanita Mohd Mokhtar, 57, mengalami lecur di muka dan tangan. Beliau sebelum itu didakwa menyalakan dapur memasak sebelum api menyambarnya.

"Letupan terjadi ketika dapur sedang dinyalakan oleh mangsa dan kemudiannya api telah menyambar mangsa sebelum ia berjaya dipadamkan dengan menutup injap LPG tersebut.

"Mangsa cedera akibat melecur di bahagian muka dan tangan akibat letupan terbabit," katanya Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail.

Letupan turut menyebabkan bahagian dapur rumah mangsa rosak teruk

Tambah Syed Mohsen, dua pegawai dan empat anggota bersama sebuah jentera pemadam (FRT) dibantu tiga anggota BBP Bukit Angin serta Unit Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut.

"Rawatan awal diberikan unit EMRS Bukit Angin kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan selanjutnya," katanya dipetik Sinar.

Difahamkan, anggota bomba turut membuat pemeriksaan di tempat kejadian untuk mengelakkan insiden serupa berulang.

Post a Comment

0 Comments