SATU lagi kes kematian terbaru berkaitan jangkitan koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 9 orang.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan sebentar tadi.
"Dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian baru berkaitan Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
"Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak sembilan (9) setakat ini," katanya.
Menurutnya, mangsa berusia 49 tahun adalah seorang doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan yang pernah mempunyai sejarah perjalanan ke Turki disahkan meninggal jam 10.33 pagi tadi.
Bagaimanapun jelasnya kes itu disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan pesakit Covid-19 seperti tersebar di media sosial.
Tambah Noor Hisham, mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection (SARI).
"Beliau disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum.
"Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah," tambahnya.
0 Comments