PAKEJ Rangsangan Ekonomi diumumkan pentadbiran Muhyiddin hanya "melengahkan" masalah yang dihadapi Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat wabak koronavirus (Covid-19), tegas Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur & Putrajaya (KLPICC).
Setiausaha Agung KLPICC, Dr AT Kumararajah yang dipetik laporan media berkata, pakej itu tidak dilihat sebagai sebarang percubaan yang jelas dan tegas untuk memenuhi keperluan PKS.
"Selain institusi kewangan, semua inisiatif lain disusun sebagai kelewatan atau moratorium atau pembayaran lambat.
"Tidak ada pemindahan wang langsung dan subsidi yang mencukupi untuk pengekalan pekerjaan. Tiada langkah untuk mengambil kesempatan dan modal kerja yang rendah bagi PKS.
"Masalah cuma dilengahkan. Apabila cukup tempoh tangguhan pembayaran dan kelewatan tamat, masalahnya akan tetap masih ada, Perdana menteri kata tidak siapa tercicir, tetapi kami (PKS) rasa tercicir," katanya dipetik Malaysiakini.
Tambah Kumarajah lagi, suntikan wang lebih rendah daripada yang dijangkakan dan KLPICC berpandangan ia hanya menyelesaikan satu sisi masalah semasa.
"Sisi permintaan (demand) dijaga - tetapi bagaimana pula dengan bekalan? Untuk menggunakan metafora 'Makcik Kiah' yang kini mempunyai jumlah wang tunai berjumlah RM 4,200 (dan lain-lain RM 4,464 dalam simpanan dari subsidi lain dan pengecualian) - di mana dia akan membeli?
"Sisi pembekalan yang mana industri PKS yang semakin rapuh dan berpecah belah, telah lama bergelut dengan pertumbuhan rendah domestik dan global sebelum isu PKP, dan Covid-19 secara tiba-tiba keluar dari mana-mana merumitkan lagi keadaan. Yang terbaik digegarkan dan selebihnya dikacau," tegas Kumararajah lagi.
Susulan itu beliau berkata pihaknya bersedia untuk memberikan maklum balas konkrit yang jelas kepada Putrajaya dan berharap banyak langkah tambahan akan diumumkan dari rancangan mingguan Majis Tindakan Ekonomi (EAC) akan datang.
.