Jenazah mangsa ketiga selamat dikebumikan


JENAZAH
mangsa ketiga yang maut akibat koronavirus (Covid-19) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Pasir Putih, Tawau malam tadi.

Mangsa yang merupakan individu ke-152 dijangkiti wabak itu meninggal dunia pada jam 6.27 Jumaat di Hospital Besar Tawau.

Proses pengkebumian jenazah disempurnakan sepenuhnya oleh lima petugas khas dari hospital yang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Kawasan pengkebumian dikawal rapi pihak polis dengan ahli keluarga serta rakan jemaah ahli tabligh yang turut hadir dilarang menghampiri kawasan perkuburan, sehingga selesai pengebumian.

Mangsa, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 58 tahun, merupakan kes COVID-19 daripada kluster jemaah tabligh dan dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac lalu kerana mengalami simptom penyakit tersebut.

Kesihatannya semakin merosot ketika menjalani rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.27 petang Jumaat.

Sebelum ini, dua individu masing-masing di Sarawak dan Johor turut maut selepas dijangkiti wabak itu.

Post a Comment

0 Comments