Indonesia tak galak rakyat balik beraya


INDONESIA
membatalkan peperiksaan persekolahan bagi tahun ini sebagai sebahagian usahan mengekang penularan virus koronavirus (Covid-19) di negara itu.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim berkata, Ujian Nasional tahun 2020 untuk Sekolah Dasar (di Malaysia Ujian Penilaian Sekolah Rendah), Ujian Nasional di peringkat Sekolah Menengah Pertama (di Malaysia peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan Ujian Nasional Sekolah Menengah Atas (seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia), dibatalkan.

Tambah Nadiem, perkara mengenainya telah dipersetujui Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (Parlimen Indonesia).

"Pembatalan ini disebabkan faktor keamanan (keselamatan), kesihatan dan timbulnya risiko kesihatan (akibat virus Covid-19) kerana Ujian Nasional 2020 melibatkan lapan juta pelajar," katanya dalam siaran di televisyen tempatan.

Sementara itu, kerajaan negara jiran itu juga tidak menggalakkan rakyatnya  pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri pada Mei nanti.

Ketua Pengarah Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan, Budi Setyadi berkata aktiviti itu melibatkan pergerakan besar-besaran dan boleh menyebarkan virus.

"Saya menggesa semua orang supaya tidak kembali ke kampung halaman mereka sehingga keadaan kembali pulih,"katanya dipetik media tempatan.

Terdahulu, Jurucakap kerajaan berkenaan Covid-19, Achmad Yutianto berkata, kes positif Covid-19 di Indonesia terus mencatatkan peningkatan.

Sejumlah 55 kematian akibat wabak itu telah dilaporkan di Indonesia dengan kebanyakannya berlaku di Jakarta.

Jumlah kes positif, katanya, boleh atau berkemungkinan meningkat secara drastik berdasarkan pengesanan kontak mereka yang positif dengan orang sekitar.

Achmad sebelum ini menyatakan, dikhuatiri lebih 600,000 warga Indonesia berisiko positif virus Covid-19.

Post a Comment

0 Comments