HARAPAN usul langkah elak ‘keruntuhan sistemik’


MAJLIS
presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan agar tempoh moratorium 3 bulan diberikan bagi semua pembayaran pinjaman.

Mereka dalam satu kenyataan berkata, langkah itu penting untuk melindungi pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan yang terjejas susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda negara.

Tambah gabungan itu lagi, kini institusi perbankan perlu mengambil langkah tersebut sebagai sebahagian peranan menjamin keberlansungan perniagaan dan pekerja untuk mengelakkan “keruntuhan sistemik”.

“Kadar keuntungan yang besar membolehkan bank menampung kerugian mereka,” kata HARAPAN.

Selain itu, HARAPAN menggesa kerajaan melaksanakan pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk 3 bulan akan datang bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Mereka turut mengesa agar proses permohonan pinjaman dipermudahkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan bertahan selain kadar pembiayaan Kemudahan Bantuan Khas disediakan untuk mengurangkan kejutan Covid-19.

“Bank Negara harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi,” katanya.

“Sekiranya langkah-langkah ini tidak mencukupi, pembayaran secara langsung hendaklah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan rakyat berpendapatan rendah, HARAPAN turut mengusulkan pemberian bantuan tunai segera sebanyak RM600, kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum 6 bulan.

Bantuan itu jelas mereka turut perlu diberi kepada pekerja dalam ekonomi gig dan pekerja harian yang hilang punca pendapatan.

Pembayaran itu tegas mereka adalah disampaing bayaran RM300 kepada penerima Bantuan Sara Hidup pada Mac yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Mereka turut menuntut bantuan lebih menyeluruh untuk membantu pekerja yang bekerja di Singapura yang  kemungkinan tidak mendapat gaji, diberhentikan kerja, atau perlu mencari penginapan di republik itu susulan perintah kawalan pergerakan. 

Insentif tambahan dan kemudahan bagi menyokong penjawat awam yang menjalankan tugas berisiko melawan pandemik Covid-19 juga tegas mereka wajar diberikan.

Post a Comment

0 Comments