ADUN Rembia nafi dakwaan mahu lompat parti


AHLI
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menafikan dakwaan kononnya dia mahu melompat parti bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Melaka.

Memetik satu laporan media, anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu menegaskan, dakwaan itu sebagai tidak benar dan tidak memikirkan untuk bertindak demikian.

Tambahnya, beliau tidak memerlukan orang tengah untuk menjadi perantaraan dan sudah tentu perkara itu boleh diumumkan dirinya sendiri jika benar.

"Jika benar saya ingin tukar mana-mana parti, saya boleh bercakap sendiri dan jika ada orang bercakap bagi pihak saya, itu tidak benar.

"Apabila nyatakan hasrat atau mendapatkan perbincangan bersama pemimpin untuk melakukan sesuatu, saya buat sendiri dan tidak suka orang bercakap bagi pihak saya," katanya dipetik laporan itu.

Beliau mengulas demikian sebagai menafikan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga ADUN Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen yang mendakwanya berhasrat lompat parti dengan menyertai Bersatu.

Mohd Rafiq sebelum ini dilapor mendakwa, Bersatu yakin mampu membentuk kerajaan baharu di Melaka bersama Umno sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu.

Post a Comment

0 Comments