TIGA orang termasuk dua kanak-kanak lemas dalam kejadian di tasik dekat Jalan Kunyit, Taman Sri Amar di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru malam tadi.
Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tebrau Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar dipetik laporan Metro berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 pada kira-kira jam 7.22 malam.
Menurutnya, sebuah jentera dan EMRS dengan kekuatan 11 anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat daripada mangsa yang terselamat, mereka ke lokasi selepas Zohor untuk memancing dan mandi di kawasan berkenaan,” katanya.
Difahamkan, dalam kejadian tersebut seorang remaja terselamat.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Haziq Nor Kamal, 10; Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah Faris, 11, dan Farhan Mohd Sani, 14, manakala mangsa selamat ialah Mohd Faiz Haikal Abdullah.
Sementara itu tambah Saiful, pihak Bomba bertindak membuat operasi pencarian di tasik dengan kedalaman tiga meter itu sebelum berjaya menemui ketiga-tiga mangsa.
Mereka yang lemas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada lokasi.
“Kesemua mayat itu diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9.02 malam tadi.
0 Comments