IDENTITI suspek yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak parah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah baru-baru ini telah dikenalpasti.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, suspek dalam kes tersebut dikenali sebagai Kacang@ Munding yang berusia lingkungan 30-an.
Tambah Habibi, hasil siasatan awal mendapati masalah peribadi antara suspek dan mangsa sebagai motif disebalik kejadian itu.
“Motif masih dalam siasatan namun kemungkinan besar ia lebih bermotifkan masalah peribadi disebabkan sebelum kejadian tembakan itu, suspek mengugut mangsa dengan perkataan ‘jika kau berani, keluar’ sebelum suspek melepaskan tembakan,” katanya,
Dalam kejadian Rabu lepas, seorang lelaki dan dua kanak-kanak berusia 10 dan tiga tahun parah selepas terkena tembakan atas jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya
Suspek kemudiannya melarikan diri dari kawasan kejadian.
Sementara itu, Habibi berkata, usaha memburu suspek berkenaan giat dijalankan, pihak berkuasa tegasnya percaya suspek masih bersembunyi di sekitar Pulau Gaya.
“Sejak kejadian itu lagi kita telah menjalankan operasi bersepadu… InsyaAllah dengan kerjasama semua elemen ini, polis akan dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek agar memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Kota Kinabalu.
0 Comments