SEORANG pemimpin al-Qaeda, Qasim al-Rimi dilapor terbunuh dalam satu serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan Rumah Putih pada Khamis berkata, serangan di Yaman itu adalah operasi bagi memerangi keganasan.
Dilihat sebagai pengganti kepada al-Zawahiri, al-Rimi menyertai al-Qaeda pada 1990-an, berada di Afghanistan untuk berkhidmat dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.
“AS melancarkan operasi antikeganasan di Yaman menyebabkan Qasim al-Rimi, seorang pemimpin al-Qa’ida di Semenanjung Arab (AQAP) dan seorang wakil kepada pemimpin al-Qa’ida Ayman al-Zawahiri maut,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu Rumah Putih menggunakan ejaan berlainan untuk al-Qaeda.
Kenyataan itu turut menuduh al-Rimi melakukan keganasan terhadap orang awam dan berusaha melancarkan serangan terhadap AS dan tenteranya.
al-Rimi pemimpin tertinggi yang ketiga menjadi sasaran AS dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
AS sebelum ini membunuh komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani dalam serangan udara pada 3 Jan di Baghdad, Iraq dan pemimpin Daesh Abu Bakr al-Baghdadi di Syria pada Oktober.
0 Comments