Koronavirus: Sabah perluas sekatan perjalanan


KERAJAAN Negeri Sabah memperluaskan sekatan perjalanan untuk mencegah wabak koronavirus baru (2019-nCoV) daripada merebak ke negeri ini.

Penduduk bukan berasal dari Sabah dan mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari lalu tidak dibenarkan masuk ke negeri itu berkuatkuas esok.

"Mana-mana rakyat Sabah, penduduk tetap Sabah, penduduk di Sabah yang memiliki pas kerja, pas pelajar, visa lawatan sosial jangka panjang atau mana-mana perintah pengecualian, yang pulang dari tanah besar China adalah tertakluk kepada kuarantin di rumah selama 14 hari," kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Safar Untong dalam satu kenyataan.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah susulan selepas kerajaan Sabah menyekat semua penerbangan dari China dan warga China daripada memasuki negeri ini.

Langkah Sabah memperluaskan sekatan perjalanan itu berlaku sehari selepas kerajaan persekutuan mengenakan sekatan perjalanan baru kepada mereka yang tiba dari China.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan hanya menghalang pelancong dari Wuhan dan wilayah Hubei di sekitarnya, tetapi kini termasuk mana-mana pelancong yang berasal dari mana-mana wilayah yang dikuarantin oleh kerajaan China.

Sarawak pula telah mengharamkan semua pelawat dari China dan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke China sejak 1 Feb lalu.