PENUNGGANG pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli menguasai hari pertama sesi ujian pramusim MotoGP di Sepang, semalam.
Quartararo yang melakukan 52 pusingan mencatatkan masa terpantas 1 minit 58.945 saat (s) sepusingan denggan menggunakan jentera versi tahun lalu.
Manakala rakan sepasukannya, Morbidelli hanya ketinggalan 0.051s.
“Saya rasa bersemangat selepas hampir tiga bulan tidak turun ke litar. Hari ini hanya membiasakan diri menunggang jentera MotoGP.
“Kami berharap cuaca lebih baik esok supaya dapat berusaha dengan lebih dan tidak sabar untuk melihat hasil pertama jentera baharu. Semua pelumba bermula dengan jentera baharu dan ia tidak mudah untuk mereka,” kata Quartararo.
Pelumba Perancis itu dijangka menggunakan jentera baharu, Yamaha YZR-M1 berspesifikasi A seperti digunakan pasukan Factory bagi musim ini, manakala rakan sepasukannya Morbidelli bakal menggunakan jentera sama digunakan sebelum ini tetapi dipertingkatkan keupayaan teknikalnya.
Sementara itu Mordebidelli berkata, beliau berpuas hati dengan program ujian hari pertama dan akan cuba melakukan beberapa perkara kecil untuk menyesuaikan diri dengan jentera esok.
"Kami agak pantas ketika laluan lurus dan itu tanda positif yang kami mahukan,” katanya.
Sementara itu, pada sesi ujian semalam, pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins mencatatkan masa ketiga terpantas dengan 1:59.195s
0 Comments