Pemimpin tertinggi Bersatu nafi setuju Muhyiddin jadi PM


KONFLIK
politik negara dilihat semakin rumit apabila ia masih belum menunjukkan tanda akan selesai.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dari parti mereka, walaupun perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohammad sebelumnya memberi bayangan untuk menubuhkan kerajaan campuran. 

Bagaimanapun, pengumuman itu yang dibuat  Setiausaha Agung Parti Bersatu, Marzuki Yahya, dibidas seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang tampil mendakwa, pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8 itu tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi dan tidak direstui.

Penasihat media kepada Tun Dr Mahathir, A Kadir Jasin berkata MPT tidak diajak berunding atau dimaklumkan mengenai cadangan tersebut.

“Pendirian terakhir Majlis Tertinggi yang dibuat dalam mesyuarat malam Isnin lalu ialah Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri,” katanya menerusi Facebook. 

Semalam, Pakatan Harapan (HARAPAN) kekal dengan pendirian mencalonkan Presiden Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon percana menteri. 

Tawaran itu dibuat HARAPAN  bagi meredakan krisis  politik yang sedang melanda negara susulan tindakan Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri yang menyaksikan kerajaan HARAPAN runtuh. 

Pas dan Umno pula sebelum ini menarik semula sokongan kepada Dr Mahathir dan menggesa agar pembubaran Dewan Rakyat dilakukan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semula. 

Bagaimanapun, mereka sekali lagi mengubah pendirian apabila menyokong cadangan Bersatu untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi membentuk kerajaan baharu.

Setakat kini, Muhyiddin mengatasi Anwar dengan kelebihan 4 sokongan ahli parlimen termasuk dari beberapa ahli parlimen Keadilan yang meninggalkan HARAPAN, MCA dan MIC.

Manakala Anwar mendapat sokongan penuh 92 ahli parlimen mewakili HARAPAN.