Pecah Amanah: AG tolak reprensentasi Ketua Perisikan


REPRESENTASI
dikemuka bekas Ketua Pengarah organisasi perisikan luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid berhubung pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapinya ditolak peguam negara.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada 14 Jan lepas, peguam yang mewakili Hasanah menghantar representasi bertulis kepada Peguam Negara berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan 11 hari bermula 5, 6 dan 8 Okt; 12 hingga 15 Okt serta 19 hingga 22 Okt ini untuk perbicaraan kes dan 23 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 dengan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Iskandar juga memaklumkan mahkamah bahawa Hasanah melantik pasukan peguam baru bagi mewakilinya dalam kes itu.

“Saya baru sahaja mendapat maklumat pagi ini bahawa tertuduh melantik peguam baru bagi mewakilinya,” katanya.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes itu diserahkan melalui anak guamnya.

Post a Comment

0 Comments