Obor-obor beracun dikesan di Marang


ORANG
ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak menyentuh obor-obor beracun yang dikenali sebagai portuguese man o' war (physalia cnidaria).

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, hidupan laut itu dikesan terdampar di Pantai Pulau Kekabu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang ketika sedang menjalani Latihan Penyelamat Pantai APM, dua hari lalu.

Tambahnya, hidupan laut bersaiz kecil dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa.

"Physalia adalah haiwan yang dikategorikan dalam filum cnidaria bersama-sama obor-obor di mana ia tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus.

"Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menjauhkan diri, tidak menyentuh atau berenang di kawasan yang terdapat spesies tersebut.

Tambahnya, spesis itu boleh menyebabkan kegatalan dan setakat ini tiada antivenom untuk merawat bisa yang disebabkan sengatan physalia.

"Rawatan yang ada adalah berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom," katanya dipetik Sinar.

Beliau berkata, haiwan tersebut biasanya ditemui di Lautan Pasifik, namun sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah.

"Sekiranya hidupan ini ada ditemui di Marang dan Setiu, bermakna di perairan Kuala Terengganu pun berkemungkinan ada spesies haiwan yang sama," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments