DIVIDEN Kumpulan Wang Simpanan Pekarja (KWSP) bagi tahun 2019 disifatkan sebagai adil dan memuaskan memandangkan pulangan lebih rendah ke atas pelaburannya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, kadar itu dianggap memuaskan kerana cabaran kemerosotan ekonomi seperti pencapaian lebih rendah pasaran saham domestik dan ekuiti tempatan.
“Semua perkembangan ini memberi kesan ke atas pelaburan KWSP yang menyebabkan bayaran dividen lebih rendah bagi tahun 2019.
“MTUC percaya KWSP akan mengambil langkah sesuai bagi melihat sama ada dasar pelaburannya boleh diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran ekonomi masa depan dan memastikan pulangan lebih baik pada tahun 2020 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan RM41.68 bilion untuk simpanan konvensional.
KWSP memberikan 2.95% melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5% setiap tahun.
Bagi simpanan syariah, yang dilancarkan pada Ogos 2016, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.00% untuk simpanan 2019, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion.
Sementara itu, Halim menggesa kerajaan memberi kelonggaran kepada KWSP untuk membuat lebih banyak pelaburan di luar negara.
“Pulangan daripada pelaburan di luar negara sangat posittif kepada KWSP, dan membolehkannya mengumumkan dividen yang memuaskan bagi 2019 walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar," tegasnya.
Beliau berkata, MTUC percaya dana itu akan membuat penambaikan perlu ke atas proses dan prosedur dalamannya untuk meluluskan pelaburan di dalam negeri dan luar negara bagi memastikan pulangan serta dividen lebih baik pada tahun 2020.
0 Comments