Maktab Turus ATM Haigate tamat perkhidmatan


MAKTAB Turus Angkatan Tentera Malaysia (MTAT) Haigate di Jalan Padang Tembak di Kuala Lumpur secara rasmi menamatkan perkhidmatannya.

Majlis penutupan premis berkenaan selepas hampir lima dekad beroperasi disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang semalam.

Istiadat penurunan bendera serta penyerahan kunci premis kepada Bahagian Komunikasi dan Elektronik (KOMLEK), Rejimen 91 RSD dan Wisma Perwira ATM diadakan sebagai simbolik kepada penutupan maktab.

Maktab Turus ATM bakal berpindah secara berperingkat ke premis baharu di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya pada September tahun lepas.

Ia merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi ATM yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai berpangkat Mejar dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, selain menawarkan tempat kepada pegawai daripada agensi kerajaan lain sebagai persediaan menjawat jawatan di peringkat lebih tinggi.

Maktab itu  disempurnakan penubuhannya oleh perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971 dengan kumpulan penuntut pertama memulakan pengajian pada 8 Jan 1972.

Sejak penubuhannya, MTAT diterajui seramai 20 Komandan termasuk Komandan ke-20 Brig Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi yang telah mengambil alih tugas sejak 12 Sep 2018.

MTAT hingga kini telah melahirkan 5,390 pegawai, termasuk pegawai tentera darat, pegawai tentera laut, pegawai tentera darat dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Post a Comment

0 Comments