SELEPAS koronavirus di China, kini muncul pula satu lagi virus misteri, kali ini di Brazil.
Virus misteri baharu ini yang tidak diketahui asal-usulnya dikesan di sebuah tasik di Brazil. Ia kini mencetuskan teka-teki kepada saintis, menurut laporan media antarabangsa.
Buat masa ini, ia digelar Yaravirus sempana nama Yara, mitos ikan duyung dengan kuasa ghaib yang memikat tentera untuk tinggal bersamanya di dasar laut.
Yaravirus didokumentasikan oleh saintis pada bulan lalu selepas menemuinya secara tidak sengaja di Tasik Pampulha, sebuah tasik buatan di bandar Belo Horizonte.
Apa yang menjadi misteri menurut penyelidik ialah lebih 90 peratus gen Yaravirus tidak pernah dilihat sebelum ini, sekali gus menjadikan ia unik sepenuhnya.
Urutan genom virus itu mendapati hanya enam daripada 74 gen pernah direkodkan sebelum ini manakala 68 lagi tidak pernah dilihat.
Kajian terhadap lebih 8,500 bahan genetik dari seluruh dunia dalam pangkalan data saintifik gagal memberi petunjuk tentang apa yang mempunyai kaitan dengan Yaravirus.
"Ia memperluaskan lagi pengetahuan kami tentang kepelbagaian DNA virus," kata pasukan pasukan yang diketuai penyelidik Federal University of Minas Gerais di Brazil.
Difahamkan, Yaravirus diambil daripada makhluk bersel tunggal digelar amoeba yang hidup dalam persekitaran lembap.
Buat masa ini, Yaravirus dikatakan tidak mendatangkan ancaman kepada manusia berikutan ia hanya boleh disebarkan antara amoeba.
Dua tahun lalu, dua anggota kanan pasukan itu, Bernard La Scola dari Aix-Marseille University di Perancis dan Jonatas S Abrahao dari Federal University of Minas Gerais turut menemui novel virus di dalam air digelar Tupanvirus yang juga dijumpai di dalam sebuah tasik di Brazil.
0 Comments