SEORANG lelaki buta di Poland mampu melihat semula selepas mengalami kemalangan.
Menurut Oddity Central, Janusz Goraj buta selama 20 tahun akibat alahan, namun penglihatannya sembuh semula selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan.
Sebelum ini difahamkan, mata sebelah kiri lelaki dari bandar Gorzow Wielkopolski itu buta sepenuhnya. Dia hanya nampak cahaya dan bayang-bayang menerusi mata kanannya
Pada 2018, keajaiban berlaku selepas dia kemalangan ketika melintas jalan. Kepalanya terhentak pada bahagian penutup enjin sebuah kereta dan jatuh ke atas jalan tar.
Dia cedera pada pinggulnya dan memerlukan pembedahan. Goraj dirawat di hospital selama dua minggu untuk penyembuhan luka pembedahan sebelum menyedari kembali dapat melihat.
Dia memberitahu perkembangan itu kepada doktor namun tiada penjelasan lanjut mengapa perkara itu terjadi. Mta lelaki itu bertambah baik dalam masa dua minggu.
“Sebaik saya bangun tidur, menakjubkan apabila saya boleh nampak sekeliling.
“Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila saya boleh nampak orang di jalan dan nombor pendaftaran kereta selain boleh membaca teks di dalam telefon bimbit saya.
“Kehidupan saya berubah!” katanya dipetik laporan itu.
“Kami tidak tahu apa yang menyebabkannya (sembuh), mungkin campuran ubat semasa rawatan kemalangan itu membuatkannya dapat melihat semasa itu,” kata Jurucakap Independent Public Provincial Hospital Agnieszka Wisniewska kepada Polsat News.
Lelaki terbabit menjalani kehidupan normal dan mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di hospital, tempat dia dirawat.
Kes Goraj direkodkan pada 2018 namun hanya mendapat perhatian selepas kisahnya dipaparkan dalam berita utama di negara itu, akhir bulan lalu.
0 Comments