PENASIHAT media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A Kadir Jasin mendedahkan sebab perletakan jawatan secara mengejut Dr Mahathir sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Melalui satu hantaran di blog peribadinya pagi tadi, Kadir Jasin berkata, peletakan jawatan itu dibuat setelah Dr Mahathir merasakan majoriti ahli majlis kepimpinan parti (MPT) "mendengar lebih banyak daripada Setiausaha Politik berbanding beliau sendiri".
Beliau dipercayai merujuk kepada mesyuarat parti itu yang mambawa kepada keputusan Bersatu untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Tambah bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) itu lagi, pada mesyuarat itu juga, Dr Mahathir turut membuat rayuan kepada pemimpin MPT supaya tidak memaksa dia untuk meninggalkan prinsipnya.
Mahathir turut bertegas untuk tidak mahu mengingkari janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Sri Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak APEC November)
Menurut Kadir, Dr Mahathir memberi alasan bahawa beliau pada mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN malam sebelumnya telah diberikan mandat yang luas mentadbir dan menyelesai masalah negara.
Sementara itu, Kadir dalam tulisannya juga mendedahkan, usaha memujuk Dr Mahathir menarik balik keputusannya melepas jawatan sebagai Pengerusi Bersatu masih berterusan.
"Perkara pertama pagi ini, beliau menerima lawatan yang tidak dirancang oleh pemimpin partinya, Bersatu, di kediamannya sendiri di Sungai Besi.
"Mereka datang untuk merayu dengannya untuk menarik balik keputusannya, semalam, yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti itu," tulis Kadir
0 Comments