SEBUAH helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas di Tawau, malam tadi.
Bagaimanapun, kesemua enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) didalam helikopter jenis Agusta Westland AW139 tersebut selamat, seorang dari mereka bagaimanapun dilapor cedera
"Terdapat enam anggota daripada Pasukan Gerakan Udara berada di dalam helikopter berkenaan ketika kejadian," kata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas yang mengesahkan kejadian itu.
Difahamkan helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau menuju ke Kem Batalion 14 PGA di sini.
Helikopter itu dipercayai cuba mendarat di kawasan helipad pada 7.30 malam namun hilang kawalan sebelum melanggar atap bangunan unit pentadbiran K9 di kem berkenaan.
Sementara itu kata Peter, siasatan berhubung nahas helikopter itu akan dijalankan pagi ini. Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah jelasnya akan turut hadir ke lokasi kejadian.
Mengulas lanjut beliau berkata, pusat kawalan di tempat kejadian juga diaktifkan serta-merta bagi mengawal lokasi kejadian dan ianya dikendalikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Seorang saksi, Wong, 60, yang dipetik laporan Bernama memberitahu helikopter itu berpusing beberapa kali dipercayai mengalami masalah enjin sebelum terhempas di kem PGA.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah di Jalan Muhibbah Raya sebelum terdengar bunyi kuat di udara.
"Saya baru lepas makan kira-kira pukul 7 malam, helikopter biasa lalu di kawasan rumah saya, tapi hari ini bunyi kuat lain macam," katanya dan menambah helikopter itu terbang rendah dan berpusing-pusing sebelum hilang daripada pandangan mata.
0 Comments