Anwar selar cadangan PAS bawa usul percaya

KENYATAAN berulang kali pemimpin Parti PAS yang mahu membawakan usul undi percaya di Dewan Rakyat yang kononnya untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad disifatkan percubaan memecah belahkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas cadangan PAS itu berkata, usul itu akan gagal dan ia bukanlah perkara serius yang perlu dibincangkan termasuk dalam mesyuarat HARAPAN.

“PAS biasalah. Kita tidak anggap itu perkara yang serius.

"Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH). Dia akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi dia, kita tidak akan tertipu,” katanya kepada pemberita.

Anwar sebelumnya hadir pada Majlis Sepetang Alumni Yayasan Anda Akademik di Kuala Lumpur.

Kenyataan Anwar itu selari dengan apa yang dinyatakan seorang penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam satu laporan media sebelum ini menyifatkan beberapa usaha yang sedang dijalankan itu sebagai percubaan memecah belahkan HARAPAN.

Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa cadangan mahu dikemuka PAS itu tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana pembangkang membawa usul menyokong kepimpinan perdana menteri.

“Bukan canggung sikit tetapi tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi,” katanya.

Semalam, bekas Hakim, Gopal Sri Ram  berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat Parlimen atau melalui persidangan untuk undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat.

Tegasnya hasrat parti PAS membentangkan usul menyokong kepimpinan Mahathir adalah tidak normal dan tidak pernah berlaku dalam sistem Parlimen Westminster.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, usul bagi menyokong perdana menteri itu akan dibawa pada persidangan 9 Mac hingga 16 April depan.

Post a Comment

0 Comments