SEORANG ahli kimia memberitahu 16 cek milik Yayasan Akalbudi digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi Ahmad Zahid Hamidi mempunyai tandatangan Presiden Umno itu.
Siti Nur Musliha Mohamad Noor, 41, daripada Jabatan Kimia Malaysia semasa menjadi saksi di Mahkamah Tinggi berkata 10 tandatangan itu menunjukkan persamaan ketara dengan ciri tandatangan Ahmad Zahid sebagai tandatangan spesimen ‘S’.
“Oleh kerana ciri-ciri yang terhad, saya berpendapat bahawa tandatangan yang dipertikaikan ini (10 cek) kemungkinan besar ditulis oleh penulis spesimen.
“Bagaimanapun, enam tandatangan dipertikai (pada cek) menunjukkan beberapa persamaan dalam ciri tulisan tangan sebagai tandatangan spesimen ‘S’,” katanya.
Siti Nur Musliha saksi ke-31 pendakwa sebelumnya membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat.
Ahmad Zahid, 67, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Tambah saksi berkenaan, beliau melihat 49 tandatangan yang dipertikaikan menggunakan peralatan ‘Video Spectral Comparator’ (VSC6000) yang dilengkapi dengan ‘Stereomicroscope’ bagi melihat struktur dan imej tandatangan itu dengan lebih jelas.
“Peralatan ini juga dapat membantu untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesan pengubahsuaian atau tekapan pada tandatangan yang dipertikaikan.
“Dengan menggunakan peralatan itu, saya dapati imej beberapa tandatangan yang dipertikaikan menunjukkan ciri-ciri yang serupa dengan imej tandatangan kesan teraan,” katanya.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam mewakili Ahmad Zahid bahawa dia tidak yakin untuk pastikan tandatangan itu adalah milik Ahmad Zahid, bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh Lee, Siti Nur Musliha berkata terdapat sedikit persamaan antara tandatangan (milik Ahmad Zahid) dengan spesimen tandatangan.
“Bagaimanapun, disebabkan struktur strok yang tidak jelas, ciri-ciri yang terhad, saya berpendapat terdapat kemungkinan tandatangan-tandatangan yang dipertikaikan ditulis oleh spesimen tandatangan (Ahmad Zahid) tetapi saya tidak dapat mengesahkannya,” katanya menurut Bernama.
0 Comments