Wanita maut, isteri YB cedera dalam kemalangan


SEORANG wanita maut setelah kenderaan dinaikinya bersama tiga yang lain termasuk isteri seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertembung lori.

Dalam kejadian di simpang Kampung Kakus-Sebuyau dekat Sarawak semalam, Poziah Udin, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Manakala, isteri Datuk Abdul Wahab Aziz yang merupakan ADUN Kalaka,Datin Fatimah mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk rawatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.48 pagi.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dikejarkan ke lokasi, bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Anggota kami hanya membantu mengalihkan kenderaan yang dinaiki mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian kereta yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuching ke Kabong.

Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan bertembung dengan sebuah lori ketika melalui satu selekoh tajam.

Pemandu kereta jenis Toyota FJ Cruiser itu, Izat Al-Hakim Khairul Azizi, 23, yang tersepit dan seorang lagi wanita berjaya dikeluarkan dan turut dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut.
 

Post a Comment

0 Comments