SEBANYAK 19 pertubuhan dan persatuan perniagaan di Pahang bercadang untuk memfailkan semakan kehakiman susulan isu kenaikan kadar baharu cukai tanah di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, langkah itu adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil bagi memastikan kenaikan cukai tanah terhadap pemilik tanah munasabah dan tidak membebankan.
"Kita semua (19 pertubuhan dan persatuan perniagaan) beri tempoh tiga minggu untuk rundingan dan perbincangan dengan pihak kerajaan termasuk pihak berkuat kuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kuantan dan Pejabat Tanah dan Galian bagi menyelesaikan isu ini.
"Kalau masih tiada perubahan atau keputusan yang baik, kita akan ambil tindakan undang-undang. Ini jalan terakhir kita ambil memandangkan caj baharu yang dikenakan tinggi dan tidak masuk akal," katanya dalam satu sidang media di Kuantan hari ini.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.
Difahamkan, caj baharu cukai tanah yang sudah berkuat kuasa awal Januari lalu. media sebelum ini melaporkan rungutan peniaga di Pahang terhadap peningkatan cukai tanah itu antaranya melibatkan tanah perindustrian kosong di Pulau Manis yang dikenakan cukai tanah sebanyak RM80,305 berbanding RM4,220 tahun lalu.
Menurut Chean Chung lagi, kenaikan itu secara tidak langsung menjejaskan persekitaran perniagaan, melemahkan harga tanah dan menaikkan kos pengeluaran.
"Ia akan mengakibatkan inflasi dan lonjakan harga barang di Pahang, sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi Kuantan dan Pahang serta melemahkan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan asing.
"Kita harap menteri besar dapat memperbetulkan keadaan sebelum impak negatif dirasai," katanya dipetik.
0 Comments