ATM bakal tubuh unit hadapi ancaman siber


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) dilapor bakal menubuhkan unit pemerintahan Siber dan Elektromagnetik.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ia satu keperluan bagi mengukuhkan penguasaan anggota keselamatan dalam berdepan ancaman ke atas domain siber yang dilihat semakin kritikal.

"Kita tahu kita hidup di dalam dunia dengan domain siber. Adalah amat penting dan bagi sesetengah pihak ia satu keperluan kritikal. Tidak memiliki keupayaan itu, kita tidak pasti terlindung.

"Ancaman hadir dalam pelbagai cara dan kita hidup dalam dunia yang ancaman ke atas domain siber adalah salah satu daripada ancaman utama," katanya pada sidang media Majlis Perintah Ulung Panglima ATM Ke-21 di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur semalam.

Affendi berkata ancaman serangan domain siber boleh memincangkan negara sebagaimana disaksikan menerusi serangan siber seperti nafi khidmat (DoS), perisian hasad dan penggodaman yang ditaja negara musuh.

"Sudah tiba masa ATM mendepani cabaran menerusi penubuhan itu (Siber dan Elektromagnetik) demi menentukan bukan sahaja kemampanan rangkaian ATM malahan keselamatan kepentingan negara di dalam domain siber," tambahnya lagi.

Sementara itu tambah Affendi, ATM akan memperkasakan kesiapasiagaan aset ketenteraan.

Menurutnya, pengekalan aset pada kesiagaan tertinggi bertujuan mempertahankan negara serta bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

Post a Comment

0 Comments