KETUA Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob patah kaki kanan setelah terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di Pokok Sena, Kedah semalam.
Dalam kejadian itu, Zainuddin dikatakan menunggang motosikal jenis Honda RS 150 dan sedang dalam perjalanan untuk menyertai Konvoi Kapchai Ambang Tahun 2020.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang dipetik satu laporan berkata, siasatan awal mendapati konvoi disertai Zainuddin sebelumnya berhenti di persimpangan Pokok Pauh, namun secara tiba-tiba, sebuah Perodua Alza yang dipandu wanita 41 tahun merempuhnya.
“Kejadian itu menyebabkan Datuk Zainuddin terjatuh dan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut,” katanya.
Selain patah kaki, Zainuddin turut dilapor cedera di tangan kiri dan tulang pinggul, susulan itu Zainuddin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki ambulans untuk mendapat rawatan.
Mohd Rozi berkata, konvoi itu adalah pengisian bagi program Komuniti Kepolisan yang bergerak ke Baling, Sungai Petani, Yan dan kembali ke IPD Kota Setar.
Pihak polis turut mengambil keterangan pemandu wanita itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 Comments