Kereta api Bukit bendera ditutup 9 hari


PERKHIDMATAN
kereta api funikular di Bukit Bendera bakal ditutup selama sembilan hari bermula 6 Januari ini.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dalam kenyataan berkata, ia bagi penyelenggaraan tahunan berjadual kali pertama perkhidmatan itu dan operasi kereta api berkenaan dijangka akan berjalan seperti biasa pada 15 Januari.

“Penyelenggaraan berjadual itu akan dijalankan di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG dari Switzerland untuk memastikan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.

“Pengunjung yang mahu ke pusat pelancongan itu boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani.

“Selain itu, boleh menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan itu,” kata kenyataan itu.

Susulan itu  PHC memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera.

Orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau emel kepada inquiries@penanghill.gov.my untuk sebarang pertanyaan.

Post a Comment

0 Comments