SEORANG pekebun pisang terkejut apabila menjumpai seorang bayi dikawasan semak berhampiran rumahnya di Sibu Jaya, Sarawak, pagi tadi.
Dipetik laporan Borneo Post, pekebun itu sebelumnya mendengar suara tangisan bayi ketika keluar untuk membuang sampah.
Bayi perempuan cukup sifat itu dijumpai masih bertali pusat dan dipercayai baharu dilahirkan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan penemuan itu berkata, lelaki berusia 45 tahun berkenaan terus memaklumkan penemuan itu kepada polis kira-kira pada pukul 9.30 pagi.
"Dia (pengadu) mencari ke arah suara bayi menangis itu sehingga menjumpai seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dibawah pokok pisang di situ," katanya menurut laporan itu.
Stanley menambah lelaki tersebut kemudian membawa bayi itu ke rumahnya dan terus memandikannya sebelum diserahkan kepada Balai Polis Sibu Jaya.
"Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan," kata Stanley.
Susulan itu, polis kini menyiasat kes tersebut dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.