ARRC: Zaqhwan mahu jadi juara dengan CBR1000RR-R


PELUMBA pasukan Asia Dream Racing With SHOWA,  Zaqhwan Zaidi yang bakal menunggang jentera perlumbaan baharu mengharapkan musim perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2020 memberi keputusan lebih memberangsakan.

Berada di kedudukan ketiga pada kejuaraan sulung ASB1000cc, Zaqhwan berkata beliau bakal menjadikan perlumbaan dalam kelas tersebut sebagai fokus utamanya.

"Fokus saya kepada ARRC. Agak kecewa juga (dengan keputusan musim lalu). Rugi sebab satu atau dua pusingan... saya terjatuh dan ada juga kerosakan yang berlaku terhadap jentera.

“Sekiranya semua berjalan dengan baik, mungkin saya boleh mengekalkan rentak dan mengutip lebih banyak mata.

"Apapun, persaingan di ARRC semakin meningkat dari tahun ke tahun dan ia menjadikan perlumbaan lebih sengit. Untuk tahun ini, saya ingin memberikan saingan yang lebih baik." katanya dipetik.

Difahamkan, Zaqhwan akan berlumba dengan jentera baharu Honda, CBR1000RR-R bagi perlumbaan musim depan.

Selain ARRC, Zaqhwan turut akan menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun (AJRRC) dan perlumbaan 8 Jam Suzuka bagi musim ini.

"Sebagai persediaan, kami akan mengadakan lebih banyak ujian. Kami kena perlu mengenali motosikal ini apatah lagi pada tahun ini pasukan meletak sasaran untuk muncul juara keseluruhan," kata bekas juara dua kali kategori SuperSports 600cc itu.

Musim 2020 bagi saingan ARRC dijadual berlangsung sebanyak tujuh pusingan dengan beberapa litar lazim menjadi pelengkap kalendar. Antaranya di litar Sepang, Litar Suzuka di Jepun dan Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand.

Ia dijadual akan membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 6 hingga 8 Mac ini.
 

Post a Comment

0 Comments