Zaleha Hamid diserang minor stroke


PENYANYI 
Zaleha Hamid dilaporkan diserang  ‘minor stroke’ dan kini dalam proses pemulihan.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 54, yang dipetik laporan Metro berkata Zaleha atau mesra dipanggil Mama disahkan mengalami angin ahmar peringkat permulaan (minor stroke) selepas terjatuh di bilik air rumahnya, 23 Disember lalu.

Difahamkan, kejadian itu dikatakan berlaku selepas dia pulang dari Kuala Lumpur menghadiri siaran langsung program pentas akhir Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember lalu.

“Mama terjatuh di bilik air, dia kata licin jadi tergelincir. Saya bawa Mama ke klinik, tetapi klinik minta terus rujuk ke hospital.

"Bila di hospital, pemeriksaan hanya mendapati darah Mama pekat sikit, darah tingginya naik sikit kerana ada demam dan tekanan darah juga naik sedikit. Selain itu, tiada masalah,” katanya menurut laporan itu.

‘Minor stroke’ yang menyerang menyebabkan muka kanan, tangan kanan serta tangan dan kaki kiri Zaleha tidak dapat digerakkan seperti biasa.

Ditanya keadaan terkini penyanyi itu, Ungku Sulaiman berkata, isterinya baru memulakan sesi terapi dengan cara mengurut dan ada perkembangan baik yang dapat dilihat.

Tambahnya, sebelum ini kesihatan Zaleha sememangnya baik dan tidak pernah diserang angin ahmar.

“Nampak ok dah. Dah boleh cakap sikit-sikit, tapi tak jelas, boleh nganga mulut dah, cuma tangan dan kaki belum boleh gerak sangat sebab terapi dibuat secara berperingkat,” katanya.

Zaleha Hamid, 64, adalah penyanyi dan penghibur yang terkenal di Malaysia dan Singapura, selain antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.

Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.

Post a Comment

0 Comments