SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia semalam.
Nur Irfan Adanan, 15 menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia).
Berita sedih itu disahkan ahli keluarga mangsa, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.
Irfan merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kemalangan Jumaat lalu.
"Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu," katanya dipetik Bernama.
Difahamkan, kesemua jenazah dijangka dikebumikan hari ini dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.
Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nur Arifah, 11, yang dikejarkan ke Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang tiba ke negara itu.
Terdahulu, lima sekeluarga yang menaiki kereta sewa kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).
Mereka sekeluarga dalam percutian ke negara berkenaan.
0 Comments