JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menggantung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ekoran siasatan yang dijalankan ke atas organisasi tersebut.
Dalam satu kenyataan, ROS berkata agensi itu menerima aduan mengenai MTUC pada 2 Julai lalu berhubung isu pengurusan yang bermasalah.
Sehubungan itu, mereka membuka kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
"Selanjutnya pada 18 Dis ROS mengeluarkan notis mengikut Seksyen 13(2) iaitu kenyataan sebelum pendaftaran dibatalkan.
"Justeru MTUC diberi tempoh selama 30 hari dari tarikh notis itu untuk memberi jawapan balas mengapa pertubuhan berkenaan tidak patut dibatalkan," katanya.
Menurut ROS lagi, tindakan menggantung MTUC diambil sebagai langkah menjaga kepentingan pertubuhan itu daripada terus melanggar mana-mana peraturan penubuhannya.
Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo membuat dakwaan organisasi itu tidak mengadakan mesyuarat penuh jawatankuasanya sejak pemilihan pada 2016.
Difahamkan, badan tertinggi MTUC membabitkan semua kesatuan dan bahagian bersekutu mesti mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, mengesahkan penggantungan itu dan berkata pihaknya akan bekerjasama penuh dengan ROS sebaik saja mereka menerima surat mengenainya.
Namun jelasnya, badan pemayung kepada kesatuan sekerja pelbagai sektor dengan keanggotaan seramai kira-kira 500,000 orang yang ditubuhkan sejak 1049 itu akan terus memberikan khidmat kepada semua pekerja dan sekutunya ketika siasatan dijalankan ROS.
0 Comments