Polis buru 'gangster' pukul pekerja hotel


PELAKU keganasan terhadap dua pekerja sebuah hotel di Bukit Bintang Ahad lalu dicari polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, pihaknya kini mencari dua individu terbabit yang seorang darinya telah dikenalpasti.

Menurut Fahmi,  wajah Kedua-dua pelaku itu telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu tersebut tampil memberi maklumat kepada polis.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi balai polis terdekat.

"Kita percaya mereka dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya

Media sebelum ini melaporkan tindakan dua lelaki bertindak memukul penjaga kaunter hotel di Bukit Bintang minggu lalu.

Berdasarkan maklumat, dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, kakitangan hotel telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang pelanggan hotel meminta untuk bertukar ke bilik lain.

Suspek memberi alasan biliknya kotor, bagaimanapun kakitangan memaklumkan pelanggan perlu membayar untuk menukar bilik berdasarkan prosedur hotel menyebabkan kedua-dua berang.

Suspek bagaimanapun tidak puas hati dan dia kemudian pergi ke kaunter bersama rakannya dan memukul mangsa serta seorang lagi pekerja.

Rakaman kejadian itu kemudianya tular di media sosial.

Susulan itu Fahmi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan dan kedua-dua mereka kini diburu polis bagi membantu siasatan.
 

Post a Comment

0 Comments