Polis bakal panggil bekas isteri Da'i Farhan beri keterangan


PIHAK polis difahamkan akan memanggil Fatin Nurul Ain Mat Ari susulan laporan berhubung dakwaan dipukul bekas suaminya Da’i Farhan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, wanita terbabit sudah diarahkan melakukan pemeriksaan perubatan di hospital berhubung kecederaan dialami.

“Bagaimanapun, wanita itu memberitahu enggan melakukan pemeriksaan perubatan kerana menurutnya laporan polis dibuat bertujuan sebagai rujukan pihak Mahkamah Syariah nanti.

“Justeru, kami akan memanggil wanita berkenaan untuk tindakan lanjut termasuk meneliti keperluan untuk memanggil beberapa individu berkaitan termasuk bekas suaminya,” katanya dipetik Harian Metro.

Bagaimanapun, Fadzil berkata, setakat ini, kertas siasatan berhubung kejadian masih belum dibuka.

“Kami perlu meneliti kejadian berkenaan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa sendiri sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Semalam, Fatin melalui laporan media mendakwa dirinya ditolak, dicakar dan ditampar oleh Farhan dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Taman Bukit Indah, Ampang, kira-kira jam 3 pagi pada 22 Nov lalu.

Kemelut rumah tangga mereka menarik perhatian umum apabila individu bernama Ches Al-Maliki, rakan baik Fatin mula berkongsi surat terbuka yang mendedahkan pendakwah itu sudah berkahwin kali kedua pada 26 Nov lalu.

Dalam kenyataan tersebut, Farhan dikatakan berkahwin dengan janda anak lapan tanpa pengetahuan isteri pertama.

Kekecohan rumah tangga Farhan pada awal menyebabkan dia dipersenda umum selepas mendedahkan 18 wanita menawarkan diri untuk menjadi isteri keduanya namun ditolak kerana berasakan tiada keperluan untuk bernikah lagi.

Tapi katanya dia tidak mempunyai kekuatan untuk menolak takdir dan ketentuan Tuhan yang sudah menetapkan jodohnya dengan wanita ke-19, iaitu isteri keduanya itu.

Post a Comment

0 Comments