BAGINDA Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bangga dengan keharmonian dan kemakmuran dinikmati Pulau Pinang.
Bertitah semasa Majlis Santapan Malam Diraja bersama-sama rakyat berbilang kaum dekat The Top, Komtar malam tadi, baginda turut menzahirkan rasa kagum terhadap kemajuan pembangunan yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat di negeri ini.
“Pulau Pinang sentiasa dekat di hati saya kerana ada tarikan unik iaitu rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama hidup dalam keadaan harmoni serta bersatu-padu. Banyak perkara yang kita boleh dipelajari daripada masyarakat setempat di negeri ini.
“Banyak juga pembangunan telah ditingkatkan yang menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan daripada segi ekonomi di Pulau Pinang.
“Justeru, adalah diharapkan agar masyarakat di negeri ini terus kekal bersatu-padu dan tidak melakukan perkara sebaliknya kerana Pulau Pinang sudahpun dikenali di mata dunia,” titah baginda.
Turut berangkat dalam majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff.
Baginda Permaisuri Agong turut berkenan menghadiri majlis santapan malam Diraja bersama-sama rakyat berbilang kaum.
Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri.
Sementara itu, Kon Yeow memberitahu bahawa perpaduan kaum di negeri ini sentiasa dipertingkatkan.
Kerajaan Negeri jelasnya sentiasa melaksana pelbagai program dan aktiviti merangkumi semua bidang seperti sosial, rekreasi, pendidikan, sukan, kebudayaan, kesihatan, ekonomi serta agama.
“Kerajaan Negeri juga mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pelbagai aktiviti ke arah menyatupadukan rakyat termasuk peranan dimainkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program-program bercorak perpaduan dengan lebih proaktif,” jelasnya.
0 Comments