SEBAGAI usaha menangani isu banjir di kawasan Parlimen Kota Melaka, sebanyak RM1.53 juta telah dibelanjakan sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semua perbelanjaan itu dikeluarkan daripada peruntukan parlimennya untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang sering terjejas dengan masalah banjir kilat.
Jelasnya, sepanjang tahun ini sebanyak 17 projek telah dilaksanakan di kawasan-kawasan berisiko tinggi dengan peruntukan terbesar ialah sebanyak RM250,000 bagi menaik taraf longkang dan permukaan jalan di Kota Syahbandar.
“Selain Kota Syahbandar, saya juga telah meluluskan projek naik taraf di kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu iaitu di Taman Padang Balang, Lorong Pandan dan Limbongan.
“Di kawasan Padang Balang, peruntukan yang dikeluarkan ialah sebanyak RM180,000, manakala untuk kawasan Lorong Padang hingga ke Limbongan, saya meluluskan sebanyak RM200,000 untuk menyelesaikan masalah aliran air yang tersekat sebelum ini.
“Selain itu, saya juga telah meluluskan pemasangan pam untuk menyedut air di kawasan Pengkalan Rama dan banyak lagi tempat berisiko di kawasan Kota Melaka,” katanya menurut laporan portal Melaka Kini.
Pada masa sama, Poay Tiong turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasannya.
Ujarnya, antara agensi-agensi yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
0 Comments