SIKAP pemimpin politik yang sibuk mementingkan diri dan mengabaikan agenda memulihkan semula negara di kritik.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemimpin dalam KEADILAN yang bertindak membelakangkan hasrat rakyat apabila menghilangkan diri pada Kongres Nasional PKR 2019 yang berlangsung di Melaka hujung minggu lalu.
Ketua AMK Kubang Pasu, Mohd Fadzil Ahmad Shobri berkata, pemimpin sebegitu tidak seharusnya diberikan tempat dalam pimpinan tertinggi parti kerana bimbang menjejaskan agenda utama parti.
“Sudah-sudahlah, sekarang bukan lagi masa untuk kita menjaga hati mana-mana pimpinan yang lebih mementingkan agenda peribadi.
"Berbaliklah kepada landasan sebenar parti yang mengutamakan agenda membantu rakyat, terutama anak muda,” katanya dipetik Sinar.
Tanpa memberi gambaran jelas siapa pemimpin tersebut, namun ia dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden parti itu, Mohammad Azmin Ali dan penyokong-penyokongnya.
Azmin Ali sebelum ini dikritik di peringkat akar umbi parti berkenaan kerana keenggananya untuk hadir ke mesyuarat peringkat tertinggi KEADILAN. Difahamkan Azmin 'ponteng' sejak dilantik semula ke jawatan digalasnya sekarang.
Sementara itu tambah Fadzil, sebaik kongres baru-baru ini berakhir, beliau berharap pemimpin dapat memberi fokus terhadap apa disampaikan perwakilan.
Ia antaranya dibawakan Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari yang mahu isu ekonomi anak muda dan pengangguran dalam negara diberikan perhatian.
“Kenyataan beliau bukan mempersoalkan ketokohan pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan, cuma beliau mahu anjakan paradigma terhadap penyelesaian ekonomi anak muda dan pembangunan seimbang di seluruh negara.
"Jika pemimpin itu terasa (kenyataan Mohammed Firdaus) terpulanglah, sesungguhnya bukan pemimpin yang berjiwa besar seorang itu jika tidak boleh ditegur," katanya.
0 Comments