Akmal Nasir desak hutang PTPTN dihapuskan


ANGKATAN
Muda KEADILAN (AMK) mendesak supaya Kerajaan Persekutuan mengapuskan hutang lapuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK 2019 berkata, berdasarkan unjuran, hutang PTPTN akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun.

Atas sebab itu tegasnya, AMK akan terus menjadi suara pendesak dalam memastikan PTPTN dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan mampan.

“Masalahnya, graduan bukan sahaja terbeban dengan hutang, tetapi juga pendapatan yang rendah. Hakikatnya, 68 peratus daripada peminjam PTPTN masih lagi berpendapatan rendah dalam kategori B40.

“Manakala, bebanan tanggungan kerajaan terus meningkat dengan penambahan RM2 - RM3 bilion bebanan terkumpul setiap tahun,” katanya di hadapan 500 perwakilan di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka (MITC), semalam.

Menyentuh mengenai soal pekerjaan, Akmal berkata, had penggajian pekerja asing wajib dikurang daripada 15 peratus jumlah tenaga kerja, kepada 10 peratus, dalam tempoh lima tahun.

“Dasar pentadbiran sebelum ini menghadkan penggajian pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja.

"Jumlah pekerja asing yang dibenarkan adalah sekitar 2.3 hingga 2.4 juta orang.

“Berdasarkan takrifan ini, jumlah pekerja asing masih terkawal. Malah, kita boleh ambil lagi 300,000 hingga 400,000 pekerja asing. Sedangkan masih ramai rakyat tempatan tidak memiliki kerja,” jelasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments