KES pembunuhan membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang didakwa berkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan dibuka semula.
Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata, mahkamah ketika menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar bergelut dengan ketiadaan motif pembunuhan.
Tambahnya, Azilah melalui Akuan Bersumpah (SD) baru-baru ini menyatakan alasan bagi pembunuhan itu dan pihak polis jelasnya akan menyiasat semula kes itu sebelum pihaknya meneliti semula siasatan yang akan dijalankan.
“Semua orang tahu ia tidak masuk akal apabila hanya Azilah dan Sirul Azhar dipersalahkan. Kita tahu ada cerita tidak lengkap,” katanya ketika ditemuramah oleh Bloomberg, Jumaat lalu.
Kes pembunuhan kejam itu diselubungi kontroversi susulan kegagalan mahkamah untuk menentukan motif dan kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bekas ketua pengiring Najib, Musa Safri untuk tampil memberi keterangan sebagai saksi dan juga tidak merayu keputusan mahkamah yang membebaskan Razak Baginda kerana bersubahat dengan pembunuhan itu.
Pada 16 Disember lalu, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui SD mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya menetapkan 20 April depan untuk mendengar permohonan Azilah bagi menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas kesalahan membunuh Altantuya.
Azilah yang diwakili peguam J Kuldeep Kumar memfailkan permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman gantung yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 dan memohon supaya perbicaraan kes berprofil tinggi ini dibuat semula.
Bekas anggota polis itu yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pengakuan mengejutkan itu, Azilah mendakwa dia bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.
Azilah juga mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
0 Comments