Zahid wajar didakwa kerana hina mahkamah - Ramkarpal


SEORANG Ahli Parlimen menggesa pihak berkuasa mengheret presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana menghina mahkamah.

Ramkarpal Singh berkata, Peguam Negara Tommy Thomas atau majistret mahkamah Johor Bahru Siti Hajar Ali wajar mengenakan tuduhan itu setelah Zahid mempertikai keputusan pembebasan tertuduh dalam kes kemalangan basikal lajak pada 18 Feb 2017 lalu yang seolah-olah membayangkan kerajaan terlibat dalam keputusan mahkamah dan majistret berat sebelah.

"Kenyataan itu jelas menjejaskan keyakinan awam terhadap kehakiman, dan memperlekeh maruah, integriti dan keadilan mahkamah.

"Ia dakwaan serius dan melangkaui kritikan saksama terhadap keputusan majistret, dan kritikan seperti itu boleh menyebabkan orang ramai merasakan dia berat sebelah dan mengambil kira perkara yang tidak sepatutnya ketika membuat keputusan," katanya dalam kenyataan.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu membangkitkan contoh kes dimana Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman terhadap peguam Arun Kasi atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengkritik secara tidak saksama.

"Kenyataan Zahid juga sama, kalau pun tidak lebih serius, dan tidak boleh terlepas daripada undang-undang. Jika Arun disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah, tiada sebab Zahid tidak boleh (dikenakan tindakan sama)," katanya lagi.

Keputusan mahkamah


Zahid dilaporkan membidas keputusan mahkamah dalam satu ceramah di Tanjung Piai.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai berpusat pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan wanita yang dikaitkan dengan insiden itu tanpa memangilnya untuk membela diri selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keadaan basikal mangsa kemalangan tersebut
Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata keputusan itu bersandarkan beberapa faktor, antaranya situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangka terdapat kumpulan berbasikal di jalan itu pada pukul tiga pagi.

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut selain siasatan membuktikan wanita itu telah memandu dengan bertanggungjawab dan berhati-hati.

Post a Comment

0 Comments